Tuesday, February 16, 2010

Apa itu Fesyen?


Fesyen secara zahirnya membabitkan pakaian yang kita pakai, tarian yang kita tarikan, kereta yang kita pandu, gaya potongan rambut serta pelbagai aspek yang lain. Fesyen itu mempengaruhi gaya hidup dan memberikan kesan pada setiap peringkat kehidupan. Fesyen dikatakan adalah aliran yang lazim merebak pada masyarakat selari dengan sejarah dunia. Fesyen merupakan keinginan untuk perubahan, dan ini menjadikan ia sebahagian daripada asas kelengkapan kehidupan.

Manusia mula menutup badan mereka untuk memanaskan badan dan supaya kelihatan sopan, tetapi perhiasan dan dekorasi telah dulu menjadi aspek penting dalam berpakaian. Tekanan daripada rakan-rakan dan perubahan gaya hidup mempengaruhi jenis perhiasan yang dapat diterima pada sesuatu masa atau zaman atau kelompok masyarakat.

Pada asasnya, tujuan manusia memakai pakaian masih tidak berubah dulu dan kini. Hari ini kita masih memakai pakaian untuk tidak menjolok mata, tetapi pilihan kita dalam berpakaian dipengaruhi oleh keinginan untuk menghias diri.

Pakaian adalah medium komunikasi yang paling jelas dan berpengaruh. Dengan hanya melihat gaya seseorang berpakaian kita boleh mengandaikan tentang status sosial, identiti jantina, orientasi politik, etnik, gaya hidup dan keutamaan estetik mereka.

Antara ciri fesyen yang hebat adalah ianya sentiasa berubah dan tidak statik. Ianya berlaku terlalu cepat, sesuatu yang in fashion boleh bertukar menjadi out of fashion pada bila-bila masa. Apa yang kita lihat mungkin pereka membuat perubahan ini mengikut mood dan kehendak hati, tetapi realitinya rekaan mereka hanya akan diterima masyarakat jka ianya benar-benar dapat mencerminkan zaman atau dekad pada waktu tersebut.

Hari ini bahasa fesyen dipertuturkan, dari New York hingga ke Tokyo dan ia sudah pergi jauh dari tempat yang dikatakan asalnya iaitu Perancis. Aliran fesyen terbaru mungkin datang dari London, India, Hong Kong ataupun tidak mustahil nanti mungkin dari Kuala Lumpur, tetapi mungkin juga datangnya bukan daripada idea pereka.

Kini bahagian pemasaran dan promosi dalam sesuatu organisasi sentiasa boleh mempromosikan nama sesiapa jua sehingga ianya menjadi sebutan, ikutan atau fashionable. Apa sahaja barangan seperti T-shirt hingga kasut sukan boleh menjadi kegilaan peminat fesyen.

Diawal abad ke 21 ini, sekali lagi kita boleh melihat korset (corset) dan pinggul bustel (bustle) yang mendominasi aliran fesyen diawal abad ke 20, muncul kembali dipersada fesyen antarabangsa. Kini dada dan pinggul memainkan peranan utama untuk menawan hati sesiapa yang melihat, agak kontroversi? Mungkin fenomena ini yang mendefinasikan budaya moden, apapun terpulang pada perspektif masing-masing,

Fesyen sememangnya berubah. Kini apabila wanita moden memakai korset dan pereka merahsiakan identiti mereka disebalik label tertentu adalah kerana mereka bebas untuk berbuat demikian bukan kerana terpaksa, tekanan dan sebagainya. Yang pasti manusia akan terus-terusan menikmati keseronokan dengan fesyen, mengapa tidak?
That’s the beauty of fashion!

3 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. hi,thanks for the article.this blog is very bermanfaat and i hope u'll write more to educate the people here.thanks

    ReplyDelete