Wednesday, February 10, 2010

Apa ada pada Metroseksual




Saya kerap diajukan soalan-soalan berkaitan dengan Metroseksual. Di bawah adalah antara soalan-soalan yang paling popular berserta dengan persepsi saya terhadap topik yang diutarakan.


1. Apa yang dimaksudkan dengan jejaka Metroseksual secara ilmiahnya?
Istilah Metroseksual ini telah diambil daripada perkataan Yunani iaitu `Metropolis’ bermaksud `ibu kota’ dan digabungkan dengan perkataan `seksual’.

Istilah Metroseksual begitu unik hingga telah dipilih sebagai Word of the year 2003 oleh American Dialect Society. Terdapat lebih daripada 70 definasi yang memberikan interpretasi makna Metroseksual. Tetapi secara ringkasnya lelaki Metroseksual adalah lelaki yang sangat mementingkan kecantikan dan penampilan diri. Segala harus hanya yang terbaik untuk dirinya. Beliau dilihat begitu mengambil berat dan menyayangi dirinya sendiri, juga menyenangi gaya hidup urban.

2. Mengapa wujudnya gelaran jejaka Metroseksual?
Gelaran Metroseksual wujud bagi mewakili lelaki urban yang baru lahir dalam masyarakat kita. Kecenderungan kaum lelaki untuk lebih berketrampilan dari aspek gaya, tubuh badan yang sempurna kini telah dianggap perkara normal berbanding dengan tiga dekad dahulu sehinggakan ia dirasakan perlu diberikan gelaran ataupun istilah oleh para ilmuan.

3. Apa bezanya antara Metroseksual dengan jejaka lain contohnya yang lebih berpenampilan konvensional?
Contoh perbezaan yang paling ketara adalah dari segi mereka membelanjakan wang:
-lelaki lain mungkin lebih gemar untuk membeli alat kelengkapan hiburan rumah, kereta mahupun barangan elektronik sebaliknya lelaki Metroseksual lebih suka menghabiskan masa di butik-butik pakaian dan aksesori, salon kecantikan yang secara konvensionalnya adalah tempat disukai oleh kaum wanita.

4. Ciri-ciri jejaka Metroseksual?
Berketrampilan hebat daripada pelbagai aspek terutamanya gaya dan peribadi diri.

5. Peringkat usia jejaka Metroseksual?
Tidak terbatas pada mana-mana usia

6. Bila agaknya budaya jejaka metroseksual ini bermula? (Di Malaysia atau di peringkat global)
Istilah Metroseksual ini dikatakan muncul pertama kalinya pada tahun 1994. Ia diperkenalkan oleh Mark Simpson, yang merupakan antara penulis berkaitan dunia fesyen. lelaki Metroseksual digambarkan olehnya sebagai mereka yang datangnya daripada kelompok ataupun golongan anak muda yang tinggal di kota metropolitan; menjawat jawatan tinggi; mewah; mencintai diri sendiri; serta amat meminati fesyen, perawatan wajah serta tubuh badan. Wajah dirias rapi serta disapu bedak asas lengkap dengan lip gloss. Mereka ini punyai kulit putih, mulus dan lembut hasil daripada penjagaan rapi daripada produk kecantikan jenama mewah. Mungkin kecenderungan lelaki Metroseksual ini tampil sebegini, adalah kerana ekoran desakan kehidupan kontemporari yang saban hari sentiasa ada perubahan dan pembaharuan dalam tren fesyen, produk kecantikan dan teknik rawatan teknologi terkini.

7. Metroseksual sering dikaitkan dengan barangan atau pakaian berjenama, mengapa ini terjadi?
Kerana lelaki Metroseksual yang selalunya terdiri daripada golongan profesional muda ini, begitu menggemari serta mampu untuk memiliki produk ataupun pakaian (busana) berkualiti dan berprestij yang selalunya hasil rekaan pereka-pereka hebat antarabangsa. Pertambahan golongan profesional muda yang berpendapatan tinggi ini juga telah menyebabkan syarikat-syarikat pengeluaran, berlumba-lumba bersaing untuk mengeluarkan produk berjenama yang memenuhi citarasa golongan ini.


8. Pakaian yang sering dipakai jejaka metroseksual?
Tentunya aksesori dan pakaian yang berjenama tren terkini. Selalunya mereka menjadikan gaya idola mereka seperti David Beckham, Jude Law sebagai panduan dan ikutan.

9. Di Malaysia Metroseksual sering dikaitkan dengan Homoseksual, berbeza sekali di bandar besar seperti New York, Tokyo, Paris, Rome atau London. Adakah hal ini benar? Huraikan
Isu ini adalah amat subjektif dan terpulang kepada setiap daripada kita untuk mendefinasikannya. Ia bergantung kepada latar belakang dan sosio budaya masayarakat setempat. Cuma saya rasa kita perlu menghormati hak orang lain untuk melakukan apa yang terbaik untuk diri mereka tanpa ada rasa prasangka dan iri hati.

Perlu diingat perubahan gaya hidup Metroseksual ini bukan secara anatomi tetapi menerusi sikap dan perilaku. Tetapi jangan salah anggap, Metroseksual bukanlah kecenderungan seksual seseorang. Ianya hanyalah usaha luar sedar seseorang lelaki untuk menempatkan dirinya sebagai objek yang perlu diberikan layanan hanya yang terbaik.

10. Mengapa ada jejaka yang terlalu mementingkan penampilan/ kecantikan diri?
Itu semua adalah hak individu. Jika berkemampuan saya rasa tidak salah untuk mereka cuba memperbaiki penampilan diri agar lebih berkeyakinan dan dapat menyerlahkan lagi keperibadian mereka

11. Bagaimana pesatnya kehadiran jejaka Metroseksual di negara ini?
Saya yakin ramai jejaka urban Metroseksual di Malaysia yang sudah lama bersembunyi, kini sudah mula keluar daripada kepompong mereka sealiran dengan perkembangan tren kontemporari. Pertambahan golongan profesional muda juga mempercepatkan lagi pengaruh tren ataupun fenomena baru ini.

Pengaruh iklan dalam media cetak atau elektronik yang menampilkan pakaian , kacamata, kereta dan sebagainya yang selalunya menampilkan model-model lelaki yang bercirikan lelaki metroseksual, sememangnya dapat menarik perhatian sesiapa yang melihat.

12. Nasihat anda kepada jejaka Metroseksual di negara ini?
Jangan kita hanya terlalu mementingkan sesuatu yang bersifat permukaan hingga terlupa memperbaiki apa yang bersifat dalaman. Meminjam kata-kata seorang sahabat saya “Tidak semua yang berkilauan itu emas”. Mungkin agak puitiskan? Fikir-fikirkanlah

13. Nasihat anda kepada jejaka Metroseksual dalam soal membeli-belah, berpakaian dan penjagaan kecantikan diri?
Walaupun tiada manual undang-undang yang perlu dipelajari oleh jejaka Metroseksual, tetapi
apa yang pasti kita jangan terlalu mengikut arus tanpa berfikir terlebih dahulu tentang apa sebenar yang kita inginkan.

No comments:

Post a Comment