Monday, January 25, 2010

Soal Jawab Fesyen Lelaki (1)



Soalan
Antara tren warna paling hip & cool dalam rekaan pakaian remaja yang gemar berfesyen
Aidil Sofian, Ipoh

Jawapan
Paling hip & cool tentunya kombinasi warna hijau dan putih inspirasi pakaian sukan era 70-an. Antara tren yang paling popular waktu itu adalah rekaan pakaian tenis atlet lelaki: padanan seluar pendek dan baju polo (sama ada dibuat daripada fabrik kapas atau jersi). Selalunya mereka memakai pakaian serba putih dengan alur (piping) warna hjau ditebuk leher & hujung lengan baju. Kombinasi warna ini menjadi seperti pakaian seragam (uniform) para atlet lelaki tersebut.
Kini tren kombinasi warna hijau dan putih ini muncul kembali dalam pelbagai rekaan pakaian kasual dan sukan serta tidak ketinggalan padanan aksesori seperti kasut sukan (sneakers), wristbands, cermin mata, beg dan sebagainya. Paling penting anda perlu berani bereksperimentasi. Selamat mencuba!



(text & illustrasi diambil daripada ruangan saya - EKSPRESI MASKULIN, Majalah Maskulin FEBRUARI 2010)

Sunday, January 24, 2010

Prospek dan Isu dalam Industri Fesyen Di Malaysia (Arah tuju graduan, serta IPT dan IPTS yang menawarkan Program Senireka Fesyen)

1. Pengenalan
Industri fesyen kini bukan hanya mengenai pakaian sahaja, sebaliknya ia adalah lebih kepada industri yang berkembang pesat dan merupakan cabang perniagaan yang menyentuh hampir semua lapisan masyarakat. Sememangnya industri fesyen Malaysia kini telah mula mencipta nama di benua Asia, dan masyarakat kini telah lebih berfikiran terbuka terhadap kepentingan dunia fesyen.
Untuk berjaya dalam bidang fesyen, perlu ada kefahaman menyeluruh terhadap proses-proses yang berkaitan dengan industri tersebut. Pereka perlu tahu tentang selok belok perniagaan dan pemasaran fesyen, tanpa pengetahuan ini, mungkin agak sukar untuk memasarkan produk mereka dengan lebih berkesan. Graduan lulusan daripada kolej –kolej fesyen antarabangsa tersohor seperti Central Saint Martin’s London dan Parsons, New York sememangnya boleh menghasilkan eksperimentasi karya rekaan yang amat kreatif dan avant garde, kerana terdapat pasaran untuk karya sebegitu di luar negara.


2. Perniagaan Fesyen
Tetapi kita perlu akui bahawa pasaran industri fesyen di Asia masih lagi berteraskan fesyen yang praktikal dan komersial. Konsep perniagaan ini yang paling meraih pulangan paling lumayan buat masa ini, oleh itu adalah amat perlu bagi mereka yang mahu menceburkan diri dalam industri fesyen, faham tentang ekonomi pasaran tempatan. Pereka perlu menyediakan diri mereka dengan sebanyak mungkin kepakaran perniagaan dan juga kemahiran-kemahiran lain yang boleh mengimbangi serta membantu karya-karya kreatif mereka.
Industri ini bukan hanya berkiblatkan glamour semata-mata, tetapi ia sebenarnya memerlukan kerja keras, kesabaran dan ketabahan serta juga pengetahuan dan kefahaman yang mendalam tentang bagaimana industri ini bergerak (kerana ia sentiasa berubah dan berkembang pada setiap saat).
Banyak yang perlu dikorbankan sebelum kita mendapat pengiktirafan daripada industri. Pereka perlu sentiasa bersedia dengan kehendak pasaran. Tren dan citarasa sentiasa bertukar, perlu diingat industri fesyen terlalu banyak saingannya, anda mungkin jadi pilihan dan popular pada bulan ini tetapi jika anda gagal untuk menarik perhatian dan menghasilkan sesuatu yang hebat, anda mungkin akan dilupakan lebih pantas daripada apa yang anda jangkakan.
Fesyen adalah berkait rapat dengan masyarakat. Fesyen, gaya dan tren, selalunya adalah mencerminkan si pemakainya, oleh itu perlunya pemahaman tentang kehendak individu-individu, syarikat atau badan-badan yang menjadi pelanggan kita.
Berdasarkan temuramah dengan mereka yang berjaya dan amat berpengalaman, serta terlibat secara langsung dalam industri fesyen di Malaysia, mereka menekankan kepentingan kebolehan mengenal pasti personaliti dan citarasa pelanggan (agar kita boleh memberikan khidmat nasihat yang lebih tepat, atau menghasilkan rekaan yang paling sesuai). Ia lebih kepada berhubung dengan masyarakat melalui rekaan yang kita hasilkan.
Mereka juga berpendapat bahawa kejayaan mereka dalam industri ini adalah bertitik tolak daripada usaha mereka mengekalkan hubungan komunikasi yang effektif dan baik sama ada dengan rakan sekerja atau pelanggan.
Ada yang berpendapat bahawa hanya mereka yang berbakat sahaja yang boleh membolosi industri fesyen, tetapi ada juga mengatakan apa yang diperlukan hanyalah semangat yang berkobar-kobar.
Ketajaman intuisi terhadap fesyen dan kepekaan terhadap keindahan alam sekeliling secara umumnya menjadi inspirasi, serta kunci utama kejayaan seseorang pereka. Hasil rekaan yang dihasilkan pereka, sama ada kita mahu akui ataupun tidak, adalah merupakan sumbangan mereka kepada masyarakat.

3. Pereka muda / Graduan Fesyen

Malaysia telah berjaya mengeluarkan pereka-pereka seperti Jimmy Choo, Zang Toi dan Yeohlee yang telah mencapai kejayaan luar biasa di arena fesyen antarabangsa, dan sememangnya terdapat ramai pereka muda berbakat besar di Malaysia yang bercita-cita untuk mengecapi peluang yang sama.
IPT, IPTS dan pusat-pusat kemahiran di seluruh Malaysia kini banyak menawarkan program fesyen, yang memberikan peluang kepada para pelajar untuk mendalami dan memperkembangkan kreativiti mereka selari dengan perkembangan industri fesyen. Namun begitu, kerapkali graduan lepasan IPT dan IPTS di label sebagai terlalu konservatif, terlalu artistik dan bereksperimentasi, mereka dianggap tidak dibekalkan dengan cukup kemahiran serta ramuan yang diperlukan untuk berkhidmat kepada industri, atau memainkan peranan utama dalam industri yang berkaitan.

Adakah ini benar?
Mereka yang bergiat dalam industri fesyen menggariskan beberapa masaalah yang selalunya dihadapi oleh pereka muda:
1. Graduan yang baru tamat belajar selalunya terlalu bereksperimentasi dalam rekaan mereka hingga lupa siapakah sasaran pelanggan mereka yang sebenar. Mereka perlu faham bahawa apa yang mereka hasilkan itu selalunya amat sukar untuk dipasarkan dan hanya sesuai untuk pameran di muzium. Secara luar sedar mereka sebenarnya menghasilkan rekaan untuk diri mereka sendiri, oleh itu masa dan wang yang diperuntukkan untuk sesuatu projek itu terbuang begitu sahaja dan ini selalunya merugikan syarikat yang mengambil mereka bekerja.

Perlu difikirkan menjadi kreatif sahaja tidak mencukupi. Graduan harus tahu bagaimana untuk menjana kreativiti. Tidak semua insan kreatif dapat membawa seni ketahap yang lebih tinggi atau dapat menggunakan kemahiran mereka sebagai sesuatu yang boleh menjana ekonomi.

Antara sebabnya adalah segelintir mereka melihat rekaan fesyen sebagai suatu luahan idea dan bakat semata-mata. Mereka kurang menerima pendedahan membabitkan aspek-aspek dan peluang perniagaan yang berkaitan dengan bidang fesyen selari dengan kehendak pasaran semasa. Mereka juga perlu sedar bahawa kreativiti, kemahiran dan bakat jika digunakan dengan bijak boleh menangani krisis kewangan.

2. Kurangnya kemahiran komunikasi (PR Skills) – Sememangnya sebahagian besar daripada industri fesyen amat bergantung kepada kekuatan hubungan antara pereka dan klien atau majikan atau media (press), dan juga penyebaran maklumat tentang berita fesyen terbaru pereka kepada masyarakat. Oleh itu, adalah menjadi masaalah kepada industri jika pereka tidak boleh menyampaikan mesej yang mahu disampaikan, atau tidak boleh untuk menerang serta mempertahankan hasil karya mereka. Mengapa ini boleh berlaku? Individu-individu yang telah ditemuramah berpendapat bahawa berkemungkinan mereka tidak dilatih atau kurang diberi peluang untuk meluahkan ekspresi diri mereka sendiri ketika masih belajar.

3. Kebanyakkan pereka mahu terkenal dan berjaya dalam masa sekelip mata! Masaalahnya? Tiada cara untuk berjaya dalam masa yang singkat. Kejayaan tidak datang dengan sebegitu mudah, kita perlu untuk punyai kesungguhan dan bersedia bekerja untuk mengecapinya.

4. Beberapa individu yang menjadi penggiat utama dalam industry fesyen di Malaysia berpendapat bahawa, ada diantara para akademik dan kolej-kolej fesyen terlalu terperangkap dalam dunia mereka sendiri dan tidak faham akan kehendak industri.

5. Dunia akademik perlu mula membezakan antara kepakaran akademik dan dunia realiti yang lebih praktikal. Mereka perlu mengimbangi kedua-duanya dengan lebih bijak jika mahu graduan-graduan lepasan institut mereka berjaya dalam industri fesyen. Penggiat industri juga berpendapat bahawa, para akademik perlu membuat revolusi diri ,sealiran dengan masa, demi kepentingan graduan yang bakal dihasilkan.

Jadi apakah yang perlu kita lakukan?
• Pelajar dan pensyarah perlu lebih melibatkan diri dengan industri fesyen untuk lebih memahami akan kehendak pasaran. Untuk maju dalam bidang fesyen, kita perlu mengikuti tren global serta semangat meningkatkan pencapaian diri.

• Para akademik perlu menyuntik elemen segar dalam diri mereka. Kita perlu lebih menyumbang terhadap perkembangan industri. Para akademik perlu membuat lebih banyak penyelidikan, kerja-kerja perundingan professional dan segala yang berkaitan untuk memastikan kita selari dengan tren semasa, dan paling penting supaya kita lebih releven kepada kehendak industri.

• Para akademik juga perlu mencari pendekatan dan teknik baru dalam kaedah pengajaran.

• Perlu ada kesedaran tentang kepentingan aspek komersil dalam hasil rekaaan.

• Dari aspek ekonomi dan estetik – walaupun fesyen melibatkan aspek kreativiti, kepentingan dari aspek perniagaan ( seperti penjenamaan dan pemasaran) hasil sesuatu rekaan perlu juga diambil kira. Menggabungkan aspek ekonomi dan hasil seni adalah tunjang kepada kejayaan setiap pereka. Selain daripada pengetahuan asas rekaan, pelajar perlu faham akan aspek ekonomi disebalik industri yang bakal diceburinya.


• Pereka dan para akademik perlu memanafaatkan segala saluran jaringan yang ada (networking) dalam Industri. Melalui jaringan perhubungan ini, kita akan lebih berkeyakinan kerana pendedahan yang diterima adalah lebih meluas dan terkini.
Bold
4. Kesimpulan

Pasaran di Malaysia agak kecil, setiap pasaran ada had atau batasnya. Oleh itu terpulang kepada para akademik untuk melatih para pelajar untuk mengetahui kekuatan pasaran, untuk mempertingkat atau menambah hadnya dan menghasilkan sesuatu yang boleh memberi faedah serta manafaat kepada semua.

Yang pasti fesyen bukan hanya tentang konsumerisme, tetapi sebaliknya ia juga adalah merupakan komentar sosial serta cerminan masa seni itu sendiri.Pereka dan para akademik perlu lebih terbuka dan menerima idea baru serta sentiasa mendengar keperluan industri, lebih-lebih lagi dalam era globalisasi yang sentiasa berubah-ubah.