Thursday, June 17, 2010

Bual Fesyen: Warisan, budaya sumber inspirasi
Oleh Shaidah Shafie
shasha@bharian.com.my
2010/06/16

Faizal Hamid
Faizal Hamid
Pereka fesyen tempatan tak perlu terlalu 'berkiblatkan' Eropah untuk hasilkan rekan hebat

MEREKA fesyen atau menjadi pereka memang kerjaya yang dianggap glamor. Kalau tidak pandai menjahit baju sekalipun, asalkan berwang, anda sudah boleh bergelar pereka dengan mengupah individu lain menyiapkan busana lakaran anda.

Kenyataannya, pereka fesyen sejati sewajarnya mengetahui selok-belok mengenai jahitan, potongan kain, jenis fabrik mahupun memahami cita rasa penggemar fesyen kerana ilmu berkenaan akan meletakkan mereka ke tahap yang akan dihormati dan disegani pelanggan.

Bahkan, ada banyak lagi kemahiran lain yang dituntut sekiranya anda ingin meletakkan diri sebaris dengan pereka fesyen tersohor, baik di dalam mahupun luar negara kerana mereka juga tidak merintis laluan mudah untuk mencapai kemasyhuran dimiliki hari ini.

Ikuti Bual Fesyen kali ini dengan Pakar Perunding Fesyen, Faizal Hamid.

Apakah elemen utama yang perlu ada untuk menjadi pereka fesyen berjaya?

Fesyen adalah bidang yang memerlukan pelbagai kebolehan, bakat, kemahiran, pengetahuan luas dan aset. Oleh itu, latar belakang pendidikan fesyen, dedikasi, kemahuan menghadapi cabaran dan rintangan adalah kunci kejayaan dalam bidang ini. Pereka muda perlu menjejak jalan yang sudah dilalui oleh pereka berpengaruh tempatan dan luar negara dalam membina empayar fesyen mereka selain perlu sentiasa berhubung dengan golongan profesional yang kreatif serta menjadikan mereka sebagai mentor yang boleh memberikan bimbingan serta nasihat dalam mengembangkan kerjaya pelajar.
Perkara lain yang turut diperlukan adalah sabar, berfikiran terbuka, punyai sikap ingin tahu dan berani bereksperimentasi. Disiplin yang ketat, penuh semangat terhadap fesyen, punyai visi serta strategi juga dituntut selain perlu ada asas seni yang bagus, berpengetahuan dalam seni kontemporari, budaya dan sejarah fesyen. Adalah satu bonus sekiranya pereka ada kemahiran komunikasi yang bagus, dapat menyampaikan idea dengan jelas dan terang serta boleh bekerjasama dengan orang lain selain berkebolehan mengenal pasti personaliti dan cita rasa pelanggan serta sentiasa tepat waktu.

Bagaimana definisi rekaan fesyen yang bagus?

Rekaan fesyen yang bagus merujuk kepada rekaan sempurna dalam semua aspek teknikal seperti kualiti jahitan, merangka pola, draping serta kemasan. Mempamerkan sesuatu yang belum pernah dilihat, penuh dengan elemen dan unsur budaya, seni, falsafah serta emosi juga mampu menyokong mutu fesyen yang dikemukakan. Dalam erti kata lain, rekaan mempunyai konsep, tetapi pada masa sama bersifat kontemporari dan punyai nilai komersil. Rekaan yang bagus juga tidak keterlaluan, tidak menunjuk-nunjuk, tidak ‘menjerit’ tetapi masih cukup memikat dan menawan dengan nilai estetik yang asli serta kontemporari.

Rekaan fesyen yang boleh dianggap berjaya?

Kejayaan sesuatu rekaan fesyen itu bergantung kepada perspektif kita melihat rekaan berkenaan. Ada yang melihat fesyen sepenuhnya daripada sudut komersil, ataupun yang paling penting hasil keuntungan pasaran sesuatu rekaan. Saya percaya rekaan fesyen yang bagus adalah rekaan yang punyai elemen kontemporari, kreatif, inovatif dan asli. Penggiat fesyen perlu menghindari budaya plagiat yang berleluasa pada masa kini kerana akan membunuh kreativiti industri fesyen tempatan. Perlu diingat mendapat inspirasi dan menciplak adalah dua perkara yang amat berbeza.

Pereka hebat antarabangsa yang lebih senior seperti Azzedine Alaia dan Jean Paul Gaultier atau yang lebih muda, Nicolas Ghesquiere mahupun Alexander McQueen, mereka bijak dalam inovasi rekaan, sentiasa berkembang cemerlang serta paling penting setiap koleksi rekaan mereka menjadi tren ikutan global. Fesyen punyai pengaruh yang kuat dalam kehidupan seharian, itu yang menjadikan ia amat mengujakan dari musim ke musim. Apa yang popular pada masa lampau mungkin tidak lagi sesuai pada masa kini. Pada pandangan saya, kunci utama kejayaan pereka dalam industri fesyen adalah kebijaksanaan dan kebolehan mereka untuk sentiasa releven mengikut kehendak industri.

Bagaimana pelajar fesyen dapat membuat transisi daripada dunia pendidikan ke dunia profesional?

Pelajar seharusnya lebih banyak membaca untuk sentiasa sedar akan apa yang berlaku dalam industri fesyen tempatan dan antarabangsa. Mereka dinasihatkan menjalani latihan praktikal dan bekerja di tempat yang boleh memberikan mereka peluang menimba pengalaman atau dapat mendekatkan mereka dengan industri fesyen seperti di butik, gedung beli-belah, perkilangan serta penerbitan. Pengalaman ini akan dapat membantu perkembangan awal kerjaya mereka dalam industri.
Melengkapkan diri dengan pengetahuan dalam aspek perniagaan dan pemasaran juga perlu. Jika tidak, agak sukar bagi mereka memasarkan dan menjual produk atau hasil rekaan mereka.

Pereka muda Barat beruntung kerana mereka boleh lebih berkreatif serta berlebih-lebihan dalam rekaan mereka kerana ada pasaran sebegitu di negara mereka. Namun begitu di Asia, perkembangan dan pasaran fesyen masih untuk tujuan perniagaan serta lebih mementingkan praktikaliti dalam setiap rekaan. Oleh itu, pelajar yang bercita-cita menceburkan diri dalam industri fesyen perlu berdaya saing serta peka dan memahami arah tuju ekonomi serta pasaran tempatan. Industri fesyen di Malaysia boleh dianggap masih hijau dan amat penting bagi pelajar untuk menyediakan diri mereka dengan sebanyak mungkin ilmu pengetahuan serta kepakaran perniagaan untuk memastikan kejayaan mereka dalam industri ini.

Apakah yang akan berlaku pada industri fesyen dalam jangkamasa tujuh atau 10 tahun akan datang? Apakah langkah yang boleh diambil oleh penggiat fesyen dalam menghadapi arus perubahan ini?

Kita sememangnya tidak boleh mengandaikan dengan tepat apa yang akan berlaku dalam industri fesyen. Sememangnya setiap daripada kita mahu selalu dikejutkan oleh sesuatu yang dapat memberikan inspirasi. Gaya dan cita rasa sentiasa bertukar. Industri fesyen terlalu banyak saingannya. Fesyen sebenarnya berkait rapat dengan masyarakat. Fesyen dan gaya selalunya mencerminkan pemakainya. Apa yang pasti kini, pembeli atau pelanggan lebih cerdik fesyen dan sentiasa mahukan yang terbaik daripada industri. Era digital menjadikan pembeli punyai pengetahuan yang lebih tentang arus fesyen terkini. Kebanyakan mereka juga gemar membeli rekaan yang digayakan oleh golongan selebriti dan yang dipaparkan dalam majalah.

Namun, pada waktu yang sama mereka tetap mahukan rekaan yang dilihat punyai keaslian atau keunikan tersendiri. Pembeli kini bijak dan lebih mengutamakan kualiti, mereka menganggap setiap rekaan yang dibeli adalah suatu pelaburan. Apapun, pelajar dan pereka muda perlu tahu mengenai perkembangan sikap pembeli dan pelanggan. Mereka perlu melengkapkan diri dengan kebolehan untuk mendengar, memahami dan peka terhadap kehendak pasaran serta seterusnya menggunakan kreativiti menghasilkan sesuatu rekaan yang relevan pada masa kini. Pereka muda juga perlu melatih diri supaya mengetahui kekuatan pasaran, mempertingkatkan atau memaksimumkan potensi industri serta menghasilkan sesuatu yang bermanfaat kepada masyarakat. Menggabungkan aspek seni dan ekonomi adalah tunjang kepada kejayaan seseorang pereka. Fesyen bukan hanya untuk tujuan glamor semata-mata, tetapi sebenarnya ia merangkumi usaha gigih, kesabaran, ketabahan serta ilmu pengetahuan dan kefahaman yang mendalam, bagaimana industri fesyen itu beroperasi, berubah serta berkembang.

Tidak dinafikan ada pereka muda memandang ke Eropah sebagai sumber ilham perekaan mereka, adakah perkara ini wajar?

Bagi saya , pereka tidak perlu pecah kepala memikirkan inspirasi dari Eropah kerana segala inspirasi yang dicari terbentang luas di hadapan kita. Inilah waktunya untuk kita menghargai kekayaan warisan bangsa dan budaya sendiri, sekali gus menjadikan semua itu inspirasi untuk kita menghasilkan karya rekaan yang hebat. Begitupun, pereka disaran membuat penyelidikan terlebih dulu untuk lebih mendalami dan memahami segala perkara yang berkaitan, terutama mengenai peradaban bangsa dan budaya. Ini adalah untuk kita mengelak daripada mencemari imej warisan tersebut tanpa kita sedari. Apa yang pasti, sebagai rakyat Malaysia kita perlu menyumbang untuk perkembangan budaya bangsa. Lihat saja pereka fesyen Jepun yang sentiasa mengagumi akar umbi mereka, walau berjaya di peringkat antarabangsa sekalipun, setiap rekaan yang dihasilkan menyerlahkan warisan budaya mereka sama ada pada konsep, penggunaan material dan sebagainya. Kalau rakyat negara luar boleh berbangga dengan warisan mereka, mengapa tidak kita. Tepuk dada tanya selera!

PROFIL
Faizal Hamid


Pereka fesyen, perunding imej, kolumnis dan juga pensyarah di Jabatan Fesyen, UiTM Shah Alam.

Pendidikan: Berkelulusan dalam MA in Environmental Arts (Fashion) dari Syracuse University, New York, USA dan Ijazah Sarjana Muda dari UiTM.

5 comments:

  1. "Adalah satu bonus sekiranya pereka ada kemahiran komunikasi yang bagus, dapat menyampaikan idea dengan jelas dan terang serta".

    Mungkin bukan bonus, tetapi salah satu pra syarat yang perlu?

    Encik Faizal masih ingat lagi dengan pelajar kita yang kalah dalam sebuah rancangan tv realiti kerana dia tidak dapat menzahirkan ilham dan kreativitinya?

    Pereka fesyen muda sudah pasti boleh ke depan, akan tetapi mereka perlu ada LEBIH kemahuan dan kemahiran tambahan.

    Cukuplah sudah dengan hanya bersembang atau sekadar menyimpan angan-angan. Kembali ke realiti dan berusaha lagi. Seperti kata Encik, "tepuk dada, tanya selera!"

    Airil Haimi

    www.teechconsult.com

    ReplyDelete
  2. u are so right airil!
    very grateful for your thoughts on these subject.
    thanks again. appreciate it very much

    ReplyDelete
  3. hey..i've alr follow ur blog.. can u follow back my blog.. hanchrysanthemum.blogspot.com.. btw, nice entry..thanxx :)

    ReplyDelete
  4. saya suke dgn gaya fashion thought en faizal.. selalu bace kat magazine je.. :) izinkan saya follow blog ye.

    suke fashion, dulu nak amik art design xdpt ;( so i amik masscomm uitm gak.

    ReplyDelete
  5. Nice article ! Sesuatu yang harus di fikirkan dan di usahakan
    I'm following you
    Hope you can do so

    Juanthegarage.blogspot.com
    Kuala Lumpur

    ReplyDelete