Saturday, February 5, 2011

FAIZAL HAMID - SPRING/ SUMMER 2011










Koleksi Faizal Hamid, Musim Panas/ Bunga 2011, dihasilkan eksklusif untuk pasaran di New York , Amerika Syarikat. Dengan tema Black Swan, di inspirasikan daripada salah sebuah filem seni (art film) juga dari judul yang sama, lakonan Natalie Portman yang kini cukup mendapat sambutan dikalangan peminat dan pengkritik filem antarabangsa. Watak beliau dalam filem ini cukup mengesankan, penuh mainan emosi serta keanggunan yang amat memukau. Ia cukup memberikan saya inspirasi segar untuk berkarya hingga terhasilnya koleksi ini, yang merupakan perspektif saya sendiri terhadap dunia fesyen itu sendiri.

Sejujurnya saya hasilkan koleksi ini, atas permintaan rakan-rakan saya yang menetap di New York . Koleksi ini paling dekat dihati saya kerana ia merupakan luahan rasa saya sebagai seorang pencinta fesyen.

Menampilkan rekaan gaun koktel dan malam daripada fabrik sutera sifon, shantung, organza, tafeta dan tulle. Koleksi ini menggabungkan kombinasi elemen garisan, tekstur, draping, ilusi dan demi couture. Koleksi Black Swan ini adalah merupakan interpretasi segar rekaan kontemporari yang anggun, sofistikated, polished & refine.

Sebarang pertanyaan:

faizalhamid1971@yahoo.com

Tuesday, January 18, 2011

LITTLE BLACK SWAN
by Faizal Hamid
Spring/Summer 2011

Photo: Rafil
Creative Director: Zuhaili Akmal Ismail
Art Director: Sandra Azwan
Hair & Make-up: Rozlan Nasir
Model: Erina

Thursday, June 17, 2010

Bual Fesyen: Warisan, budaya sumber inspirasi
Oleh Shaidah Shafie
shasha@bharian.com.my
2010/06/16

Faizal Hamid
Faizal Hamid
Pereka fesyen tempatan tak perlu terlalu 'berkiblatkan' Eropah untuk hasilkan rekan hebat

MEREKA fesyen atau menjadi pereka memang kerjaya yang dianggap glamor. Kalau tidak pandai menjahit baju sekalipun, asalkan berwang, anda sudah boleh bergelar pereka dengan mengupah individu lain menyiapkan busana lakaran anda.

Kenyataannya, pereka fesyen sejati sewajarnya mengetahui selok-belok mengenai jahitan, potongan kain, jenis fabrik mahupun memahami cita rasa penggemar fesyen kerana ilmu berkenaan akan meletakkan mereka ke tahap yang akan dihormati dan disegani pelanggan.

Bahkan, ada banyak lagi kemahiran lain yang dituntut sekiranya anda ingin meletakkan diri sebaris dengan pereka fesyen tersohor, baik di dalam mahupun luar negara kerana mereka juga tidak merintis laluan mudah untuk mencapai kemasyhuran dimiliki hari ini.

Ikuti Bual Fesyen kali ini dengan Pakar Perunding Fesyen, Faizal Hamid.

Apakah elemen utama yang perlu ada untuk menjadi pereka fesyen berjaya?

Fesyen adalah bidang yang memerlukan pelbagai kebolehan, bakat, kemahiran, pengetahuan luas dan aset. Oleh itu, latar belakang pendidikan fesyen, dedikasi, kemahuan menghadapi cabaran dan rintangan adalah kunci kejayaan dalam bidang ini. Pereka muda perlu menjejak jalan yang sudah dilalui oleh pereka berpengaruh tempatan dan luar negara dalam membina empayar fesyen mereka selain perlu sentiasa berhubung dengan golongan profesional yang kreatif serta menjadikan mereka sebagai mentor yang boleh memberikan bimbingan serta nasihat dalam mengembangkan kerjaya pelajar.
Perkara lain yang turut diperlukan adalah sabar, berfikiran terbuka, punyai sikap ingin tahu dan berani bereksperimentasi. Disiplin yang ketat, penuh semangat terhadap fesyen, punyai visi serta strategi juga dituntut selain perlu ada asas seni yang bagus, berpengetahuan dalam seni kontemporari, budaya dan sejarah fesyen. Adalah satu bonus sekiranya pereka ada kemahiran komunikasi yang bagus, dapat menyampaikan idea dengan jelas dan terang serta boleh bekerjasama dengan orang lain selain berkebolehan mengenal pasti personaliti dan cita rasa pelanggan serta sentiasa tepat waktu.

Bagaimana definisi rekaan fesyen yang bagus?

Rekaan fesyen yang bagus merujuk kepada rekaan sempurna dalam semua aspek teknikal seperti kualiti jahitan, merangka pola, draping serta kemasan. Mempamerkan sesuatu yang belum pernah dilihat, penuh dengan elemen dan unsur budaya, seni, falsafah serta emosi juga mampu menyokong mutu fesyen yang dikemukakan. Dalam erti kata lain, rekaan mempunyai konsep, tetapi pada masa sama bersifat kontemporari dan punyai nilai komersil. Rekaan yang bagus juga tidak keterlaluan, tidak menunjuk-nunjuk, tidak ‘menjerit’ tetapi masih cukup memikat dan menawan dengan nilai estetik yang asli serta kontemporari.

Rekaan fesyen yang boleh dianggap berjaya?

Kejayaan sesuatu rekaan fesyen itu bergantung kepada perspektif kita melihat rekaan berkenaan. Ada yang melihat fesyen sepenuhnya daripada sudut komersil, ataupun yang paling penting hasil keuntungan pasaran sesuatu rekaan. Saya percaya rekaan fesyen yang bagus adalah rekaan yang punyai elemen kontemporari, kreatif, inovatif dan asli. Penggiat fesyen perlu menghindari budaya plagiat yang berleluasa pada masa kini kerana akan membunuh kreativiti industri fesyen tempatan. Perlu diingat mendapat inspirasi dan menciplak adalah dua perkara yang amat berbeza.

Pereka hebat antarabangsa yang lebih senior seperti Azzedine Alaia dan Jean Paul Gaultier atau yang lebih muda, Nicolas Ghesquiere mahupun Alexander McQueen, mereka bijak dalam inovasi rekaan, sentiasa berkembang cemerlang serta paling penting setiap koleksi rekaan mereka menjadi tren ikutan global. Fesyen punyai pengaruh yang kuat dalam kehidupan seharian, itu yang menjadikan ia amat mengujakan dari musim ke musim. Apa yang popular pada masa lampau mungkin tidak lagi sesuai pada masa kini. Pada pandangan saya, kunci utama kejayaan pereka dalam industri fesyen adalah kebijaksanaan dan kebolehan mereka untuk sentiasa releven mengikut kehendak industri.

Bagaimana pelajar fesyen dapat membuat transisi daripada dunia pendidikan ke dunia profesional?

Pelajar seharusnya lebih banyak membaca untuk sentiasa sedar akan apa yang berlaku dalam industri fesyen tempatan dan antarabangsa. Mereka dinasihatkan menjalani latihan praktikal dan bekerja di tempat yang boleh memberikan mereka peluang menimba pengalaman atau dapat mendekatkan mereka dengan industri fesyen seperti di butik, gedung beli-belah, perkilangan serta penerbitan. Pengalaman ini akan dapat membantu perkembangan awal kerjaya mereka dalam industri.
Melengkapkan diri dengan pengetahuan dalam aspek perniagaan dan pemasaran juga perlu. Jika tidak, agak sukar bagi mereka memasarkan dan menjual produk atau hasil rekaan mereka.

Pereka muda Barat beruntung kerana mereka boleh lebih berkreatif serta berlebih-lebihan dalam rekaan mereka kerana ada pasaran sebegitu di negara mereka. Namun begitu di Asia, perkembangan dan pasaran fesyen masih untuk tujuan perniagaan serta lebih mementingkan praktikaliti dalam setiap rekaan. Oleh itu, pelajar yang bercita-cita menceburkan diri dalam industri fesyen perlu berdaya saing serta peka dan memahami arah tuju ekonomi serta pasaran tempatan. Industri fesyen di Malaysia boleh dianggap masih hijau dan amat penting bagi pelajar untuk menyediakan diri mereka dengan sebanyak mungkin ilmu pengetahuan serta kepakaran perniagaan untuk memastikan kejayaan mereka dalam industri ini.

Apakah yang akan berlaku pada industri fesyen dalam jangkamasa tujuh atau 10 tahun akan datang? Apakah langkah yang boleh diambil oleh penggiat fesyen dalam menghadapi arus perubahan ini?

Kita sememangnya tidak boleh mengandaikan dengan tepat apa yang akan berlaku dalam industri fesyen. Sememangnya setiap daripada kita mahu selalu dikejutkan oleh sesuatu yang dapat memberikan inspirasi. Gaya dan cita rasa sentiasa bertukar. Industri fesyen terlalu banyak saingannya. Fesyen sebenarnya berkait rapat dengan masyarakat. Fesyen dan gaya selalunya mencerminkan pemakainya. Apa yang pasti kini, pembeli atau pelanggan lebih cerdik fesyen dan sentiasa mahukan yang terbaik daripada industri. Era digital menjadikan pembeli punyai pengetahuan yang lebih tentang arus fesyen terkini. Kebanyakan mereka juga gemar membeli rekaan yang digayakan oleh golongan selebriti dan yang dipaparkan dalam majalah.

Namun, pada waktu yang sama mereka tetap mahukan rekaan yang dilihat punyai keaslian atau keunikan tersendiri. Pembeli kini bijak dan lebih mengutamakan kualiti, mereka menganggap setiap rekaan yang dibeli adalah suatu pelaburan. Apapun, pelajar dan pereka muda perlu tahu mengenai perkembangan sikap pembeli dan pelanggan. Mereka perlu melengkapkan diri dengan kebolehan untuk mendengar, memahami dan peka terhadap kehendak pasaran serta seterusnya menggunakan kreativiti menghasilkan sesuatu rekaan yang relevan pada masa kini. Pereka muda juga perlu melatih diri supaya mengetahui kekuatan pasaran, mempertingkatkan atau memaksimumkan potensi industri serta menghasilkan sesuatu yang bermanfaat kepada masyarakat. Menggabungkan aspek seni dan ekonomi adalah tunjang kepada kejayaan seseorang pereka. Fesyen bukan hanya untuk tujuan glamor semata-mata, tetapi sebenarnya ia merangkumi usaha gigih, kesabaran, ketabahan serta ilmu pengetahuan dan kefahaman yang mendalam, bagaimana industri fesyen itu beroperasi, berubah serta berkembang.

Tidak dinafikan ada pereka muda memandang ke Eropah sebagai sumber ilham perekaan mereka, adakah perkara ini wajar?

Bagi saya , pereka tidak perlu pecah kepala memikirkan inspirasi dari Eropah kerana segala inspirasi yang dicari terbentang luas di hadapan kita. Inilah waktunya untuk kita menghargai kekayaan warisan bangsa dan budaya sendiri, sekali gus menjadikan semua itu inspirasi untuk kita menghasilkan karya rekaan yang hebat. Begitupun, pereka disaran membuat penyelidikan terlebih dulu untuk lebih mendalami dan memahami segala perkara yang berkaitan, terutama mengenai peradaban bangsa dan budaya. Ini adalah untuk kita mengelak daripada mencemari imej warisan tersebut tanpa kita sedari. Apa yang pasti, sebagai rakyat Malaysia kita perlu menyumbang untuk perkembangan budaya bangsa. Lihat saja pereka fesyen Jepun yang sentiasa mengagumi akar umbi mereka, walau berjaya di peringkat antarabangsa sekalipun, setiap rekaan yang dihasilkan menyerlahkan warisan budaya mereka sama ada pada konsep, penggunaan material dan sebagainya. Kalau rakyat negara luar boleh berbangga dengan warisan mereka, mengapa tidak kita. Tepuk dada tanya selera!

PROFIL
Faizal Hamid


Pereka fesyen, perunding imej, kolumnis dan juga pensyarah di Jabatan Fesyen, UiTM Shah Alam.

Pendidikan: Berkelulusan dalam MA in Environmental Arts (Fashion) dari Syracuse University, New York, USA dan Ijazah Sarjana Muda dari UiTM.

Thursday, April 1, 2010

INDUSTRI FESYEN PERLU ADA IDENTITI : NEGARA WAJAR MILIKI PENGELUAR TEKSTIL IMEJ TEMPATAN

1. Halangan utama yang menyekat industri fesyen dan tekstil Malaysia berkembang maju dan tidak hanya berlegar di dalam negara.

Produk kita seperti batik berdepan masalah untuk promosi kerana tidak mempunyai identiti Malaysia yang tulen. Mengapa tidak menggunakan kekuatan motif setiap negeri yang unik untuk membezakan batik kita dengan batik luar? Misalnya di Perak, ada seni tekat yang boleh digunakan sebagai motif batik. Begitu juga dengan songket yang terpaksa bersaing dengan songket India kerana ia jauh lebih murah berbanding songket kita yang mencecah puluhan ribu ringgit (Masalahnya matlamat pemasaran mereka adalah golongan yang ternama). Oleh itu, kita perlu memikirkan bagaimana untuk menurunkan harga secara munasabah.

2. Kebanyakkan pereka dan pegusaha batik meletakkan harga tinggi dengan alas an kita terpaksa mengimport fabrik dari luar Negara seperti China? Mengapa ini berlaku dan mengapa kita tidak bekerjasama dengan pengeluar tekstil tempatan?

Kalau fabrik berkenaan dibeli dalam kuantiti banyak, mustahil kita tidak dapat membelinya dengan harga yang lebih murah. Saya rasa sudah sampai masanya industri batik perlu menimbangkan agar batik dapat dipakai oleh semua golongan pada harga berpatutan.

Memang benar di luar Negara, jenama seperti Christian Dior bergabung dengan pengeluar tekstil untuk mendapatkan rekaan terbaik serta mengurangkan kos pengeluaran. Bukan Christian Dior saja, tetapi hampir semua jenama fesyen ini bekerjasama dengan pengeluar tekstil untuk menentukan corak dan motif yang diinginkan. Tetapi ini sukar dilakukan di Malaysia kerana ia bukan budaya kita, malah kita juga tidak mempunyai pengeluar tekstil secara besar-besaran.

3. Ada saranan agar diwujudkan stok tekstil sebagai tindakan mengawal harga dan kemasukan tekstil yang semakin mahal. Adakah cara ini berkesan dan perlukan kita megawal harga dan kemasukan tekstil dari luar seperti Eropah?

Oleh kerana kita tidak mempunyai banyak pilihan, saya rasa kurang berkesan jika hendak mengawal harga dan kemasukannya. Tambahan pula tekstil dari China adalah yang termurah dan kita juga tidak mempunyai pengeluar tekstil. Sudah sampai masanya kerajaan beri peruntukkan untuk pengusaha kecil mengembangkan perniagaan mereka.

4. Apakah yang boleh dilakukan oleh pihak kerajaan mahupun pertubuhan lain bagi mengatasi masalah ini dan membantu pereka bersaing di peringkat antarabangsa?

Lebih banyak penyelidikan dan pembangunan (R & D) perlu dilakukan. Peruntukan juga perlu ada bagi menghantar pelajar ke luar negara untuk menimba pengalaman. Bagaimanapun tidak banyak biasiswa diperuntukkan untuk tujuan ini berbanding kursus lain. Di UiTM memang ada, tetapi mereka ini apabila pulang ke tanah air terikat dengan institusi berkenaan untuk bertugas sebagai pensyarah. Kerajaan juga jangan menghadkan promosi untuk rekaan bersifat kontemporari saja, tetapi perlu juga ketengahkan seni warisan seperti batik dan kini songket seperti yang dilakukan oleh Yayasan Tunku Nur Zahirah. Industri fesyen sebenarnya tidak begitu dipandang serius sedangkan banyak pelaburan dibuat untuk projek lain. Mengapa tidak sejumlah dana diperuntukkan untuk membuat penyelidikan dan pembangunan (R &D) dalam bidang fesyen?

5. Sejauh mana R & D dapat memajukan hasil rekaan?

Rekaan yang bagus tidak sekadar mengikut kata hati semata-mata, tetapi merangkumi kehebatan penyelidikan, uji kaji, inspirasi dan kecekapan mentafsirkan aliran yang bakal jadi ikutan berdasarkan perubahan demografi, tingkah laku dan gaya hidup manusia. Analisa inilah yang akan member i gambaran ataupun ramalan mahupun aksesori yang mungkin diperlukan oleh pengguna pada masa depan.

Bagi tujuan itu, pereka dan syarikat fesyen juga disokong atau dibantu oleh ramalan fesyen yang dibuat oleh syarikat ramalan fesyen. Ia dianggotai pakar penyelidik pasaran dan penganalisa fesyen. Mereka juga menawarkan khidmat nasihat kewangan dan laporan berserta ilustrasi kepada pereka dan pengilang fesyen pakaian.

Ramalan ini dibuat daripada hasil kajian dan tinjauan statistik yang dilakukan dengan teliti sebagai ukuran popularity sesuatu rekaan, fabrik, warna dan perincian. Ada syarikat yang mendapatkan khidmat individu yang dipanggil pengejar aliran fesyen. Mereka ini amat pakar dalam menilai dn mengenal pasti aliran pada peringkat awal lagi serta membuat ramalan produk sealiran dengannya.

6. Apakah prinsip yang boleh diamalkan agar pereka boleh bersaing dengan lebih sihat?

Pereka yang bagus perlu lebih banyak membaca dan menterjemahkannya dengan cara tersendiri. Tidak salah menghasilkan rekaan berdasarkan inspirasi rekaan lama tetapi perlu ada identiti tersendiri. Kita mempunyai ramai pereka dengan identiti mereka. Apapun, pereka perlu tahu pelbagai aspek fesyen termasuk dari sudut perniagaan, pemasaran dan penjenamaan seperti yang dianjurkan MARA. Pereka perlu fokus kepada sesuatu produk dan jangan terlalu ghairah untuk melakukan semua perkara pada suatu masa. Industri fesyen sebenarnya luas merangkumi aksesori dan gaya hidup.

Wednesday, February 24, 2010

Muslihat Berpakaian


Pertimbangkan bahagian manakah perlu diberikan tumpuan utama dan yang manakah harus disembunyikan. Dengan hanya bertanyakan beberapa soalan ringkas seperti siapakah saya, pakaian bagaimanakah sesuai dengan gaya hidup saya, rekaan pakaian yang paling saya suka memakainya, akan membantu bagaimana kita boleh berpakaian kena dengan aktiviti atau majlis, memilih pakaian dan aksesori yang ideal dengan bentuk badan, serta nampak hebat pagi, petang hingga malam.

Muslihat Asas Berpakaian Untuk Semua Individu
Warna gelap boleh membuatkan kita nampak ramping. Dari kepala hingga ke kaki pakaian rona senada (monochromatic) memberikan ilusi ketinggian dan dapat membuatkan tubuh seseorang kelihatan lebih seimbang. Jalur melintang membuat anda lebih lebar, manakala jalur menegak, secara visualnya memanjangkan badan. Pastikan kita beri kurang penumpuan pada bahagian badan yang bermasaalah (walau di manapun), kadangkala kerana terlalu mahu menyembunyikannya dengan pelbagai cara, menjadikan ia lebih jelas serta menarik pandangan sinis masyarakat sekeliling.

Panduan Penggayaan Untuk Wanita Bertubuh Besar (Generously Sized Bodies)
Beg - shoulder bag yang besar dan tebal kerana kedudukannya yang terletak di tengah bahagian badan akan menarik perhatian pada bahagian tersebut. Sebaliknya bawalah flat bag, briefcase ataupun tote, ia akan melarikan pandangan daripada bahagian badan.

Tali Pinggang - Untuk bentuk badan hourglass, tali pinggang dapat perlihatkan dengan jelas bahagian yang paling ramping

Fabrik - Potongan yang longgar, panjang, berlapis-lapis daripada fabrik jenis lightweight amat sesuai sekali. Elakkan motif dan reka corak yang besar. Perlu diingat warna gelap menjadikan kita kelihatan langsing. Jika ingin menambah warna terang, pakailah blazer yang panjang antau vest dalam rona tersebut.

Perhiasan - Rantai panjang, loket (pendants) dan anting-anting berjuntai (dangling earings) menjadikan wajah kelihatan panjang, pin atau kerongsang (brooch) yang disematkan di bahu boleh mengalihkan perhatian daripada pinggang yang lebar (thick waist). Jika leher anda tebal (thick neck) elakkan perhiasan yang tumpuannya ke arah itu; contohnya choker, pakailah hanya satu aksesori, bukan sebanyak mungkin.

Seluar - Kalau boleh elakkan seluar, terutamanya potongan straight-cut, sebaliknya plihlah seluar potongan full-cut dan ditambah atasnya vest dan blouse ataupun sweater besar yang lembut. Blazer yang menutup bahagian punggung juga paling sesuai dan menarik untuk dipadankan.

Skirt - Melainkan anda memiliki sepasang kaki yang cantik elakkan skirt pendek. Pilihan yang bijak adalah skirt panjang sama ada potongan sempit ataupun longgar dengan elastic di pinggang. Elakkan juga skirt yang terlalu kembang kerana fabrik yang berlebihan akan menjadikan silhouette nampak lebih besar.

Panduan Penggayaan Untuk Wanita Bertubuh Badan Kecil (Petite Bodies)
Gaya - Pakaian kalau boleh biarlah yang ditempah mengikut ukuran badan anda. Elakkan pakaian yang terlalu besar (oversized), potongan boxy, banyak lipatan dan menggunakan banyak fabrik, kerana ia akan menenggelamkan badan yang kecil.

Aksesori - Pilihlah aksesori dengan teliti, wanita kecil molek akan nampak semak dan kurang selesa dengan aksesori yang terlalu besar.

Tali Pinggang - Pilihlah tali pinggang yang saiznya kecil bukan besar.

Perincian (Detailing) - Pastikan details adalah dalam kadar banding (proportion) yang sesuai, elakkan lapel, butang, ataupun cuff yang besar atau lebar.

Gaun (dress) - Oleh kerana padanan baju dan seluar ataupun skirt yang betul bagus potongan (well fitting) untuk wanita bersaiz kecil mungkin sukar didapati, memakai gaun (dress) adalah penyelesaian yang tepat.

Rambut - Rambut potongan close-cropped menjadikan kepala anda nampak lebih kecil dan secara tidak langsung memberikan ilusi tubuh lebih panjang.

Motif dan Rekacorak (pattern) - Motif dan reka corak yang besar boleh menenggelamkan sikecil molek, elakkan motif berpetak (plaids), polka dots dan jalur.

Skirt - Elak potongan A-line daripada fabrik yang keras dan tegang, kerana ia akan mewujudkan silhouette yang tidak menarik. Jika anda punyai sepasang kaki yang menawan, skirt pendek potongan lurus adalah pilihan yang tepat kerana ia menjadikan kaki nampak lebih panjang dan menawan.