Thursday, April 1, 2010

INDUSTRI FESYEN PERLU ADA IDENTITI : NEGARA WAJAR MILIKI PENGELUAR TEKSTIL IMEJ TEMPATAN

1. Halangan utama yang menyekat industri fesyen dan tekstil Malaysia berkembang maju dan tidak hanya berlegar di dalam negara.

Produk kita seperti batik berdepan masalah untuk promosi kerana tidak mempunyai identiti Malaysia yang tulen. Mengapa tidak menggunakan kekuatan motif setiap negeri yang unik untuk membezakan batik kita dengan batik luar? Misalnya di Perak, ada seni tekat yang boleh digunakan sebagai motif batik. Begitu juga dengan songket yang terpaksa bersaing dengan songket India kerana ia jauh lebih murah berbanding songket kita yang mencecah puluhan ribu ringgit (Masalahnya matlamat pemasaran mereka adalah golongan yang ternama). Oleh itu, kita perlu memikirkan bagaimana untuk menurunkan harga secara munasabah.

2. Kebanyakkan pereka dan pegusaha batik meletakkan harga tinggi dengan alas an kita terpaksa mengimport fabrik dari luar Negara seperti China? Mengapa ini berlaku dan mengapa kita tidak bekerjasama dengan pengeluar tekstil tempatan?

Kalau fabrik berkenaan dibeli dalam kuantiti banyak, mustahil kita tidak dapat membelinya dengan harga yang lebih murah. Saya rasa sudah sampai masanya industri batik perlu menimbangkan agar batik dapat dipakai oleh semua golongan pada harga berpatutan.

Memang benar di luar Negara, jenama seperti Christian Dior bergabung dengan pengeluar tekstil untuk mendapatkan rekaan terbaik serta mengurangkan kos pengeluaran. Bukan Christian Dior saja, tetapi hampir semua jenama fesyen ini bekerjasama dengan pengeluar tekstil untuk menentukan corak dan motif yang diinginkan. Tetapi ini sukar dilakukan di Malaysia kerana ia bukan budaya kita, malah kita juga tidak mempunyai pengeluar tekstil secara besar-besaran.

3. Ada saranan agar diwujudkan stok tekstil sebagai tindakan mengawal harga dan kemasukan tekstil yang semakin mahal. Adakah cara ini berkesan dan perlukan kita megawal harga dan kemasukan tekstil dari luar seperti Eropah?

Oleh kerana kita tidak mempunyai banyak pilihan, saya rasa kurang berkesan jika hendak mengawal harga dan kemasukannya. Tambahan pula tekstil dari China adalah yang termurah dan kita juga tidak mempunyai pengeluar tekstil. Sudah sampai masanya kerajaan beri peruntukkan untuk pengusaha kecil mengembangkan perniagaan mereka.

4. Apakah yang boleh dilakukan oleh pihak kerajaan mahupun pertubuhan lain bagi mengatasi masalah ini dan membantu pereka bersaing di peringkat antarabangsa?

Lebih banyak penyelidikan dan pembangunan (R & D) perlu dilakukan. Peruntukan juga perlu ada bagi menghantar pelajar ke luar negara untuk menimba pengalaman. Bagaimanapun tidak banyak biasiswa diperuntukkan untuk tujuan ini berbanding kursus lain. Di UiTM memang ada, tetapi mereka ini apabila pulang ke tanah air terikat dengan institusi berkenaan untuk bertugas sebagai pensyarah. Kerajaan juga jangan menghadkan promosi untuk rekaan bersifat kontemporari saja, tetapi perlu juga ketengahkan seni warisan seperti batik dan kini songket seperti yang dilakukan oleh Yayasan Tunku Nur Zahirah. Industri fesyen sebenarnya tidak begitu dipandang serius sedangkan banyak pelaburan dibuat untuk projek lain. Mengapa tidak sejumlah dana diperuntukkan untuk membuat penyelidikan dan pembangunan (R &D) dalam bidang fesyen?

5. Sejauh mana R & D dapat memajukan hasil rekaan?

Rekaan yang bagus tidak sekadar mengikut kata hati semata-mata, tetapi merangkumi kehebatan penyelidikan, uji kaji, inspirasi dan kecekapan mentafsirkan aliran yang bakal jadi ikutan berdasarkan perubahan demografi, tingkah laku dan gaya hidup manusia. Analisa inilah yang akan member i gambaran ataupun ramalan mahupun aksesori yang mungkin diperlukan oleh pengguna pada masa depan.

Bagi tujuan itu, pereka dan syarikat fesyen juga disokong atau dibantu oleh ramalan fesyen yang dibuat oleh syarikat ramalan fesyen. Ia dianggotai pakar penyelidik pasaran dan penganalisa fesyen. Mereka juga menawarkan khidmat nasihat kewangan dan laporan berserta ilustrasi kepada pereka dan pengilang fesyen pakaian.

Ramalan ini dibuat daripada hasil kajian dan tinjauan statistik yang dilakukan dengan teliti sebagai ukuran popularity sesuatu rekaan, fabrik, warna dan perincian. Ada syarikat yang mendapatkan khidmat individu yang dipanggil pengejar aliran fesyen. Mereka ini amat pakar dalam menilai dn mengenal pasti aliran pada peringkat awal lagi serta membuat ramalan produk sealiran dengannya.

6. Apakah prinsip yang boleh diamalkan agar pereka boleh bersaing dengan lebih sihat?

Pereka yang bagus perlu lebih banyak membaca dan menterjemahkannya dengan cara tersendiri. Tidak salah menghasilkan rekaan berdasarkan inspirasi rekaan lama tetapi perlu ada identiti tersendiri. Kita mempunyai ramai pereka dengan identiti mereka. Apapun, pereka perlu tahu pelbagai aspek fesyen termasuk dari sudut perniagaan, pemasaran dan penjenamaan seperti yang dianjurkan MARA. Pereka perlu fokus kepada sesuatu produk dan jangan terlalu ghairah untuk melakukan semua perkara pada suatu masa. Industri fesyen sebenarnya luas merangkumi aksesori dan gaya hidup.