Wednesday, February 24, 2010

Muslihat Berpakaian


Pertimbangkan bahagian manakah perlu diberikan tumpuan utama dan yang manakah harus disembunyikan. Dengan hanya bertanyakan beberapa soalan ringkas seperti siapakah saya, pakaian bagaimanakah sesuai dengan gaya hidup saya, rekaan pakaian yang paling saya suka memakainya, akan membantu bagaimana kita boleh berpakaian kena dengan aktiviti atau majlis, memilih pakaian dan aksesori yang ideal dengan bentuk badan, serta nampak hebat pagi, petang hingga malam.

Muslihat Asas Berpakaian Untuk Semua Individu
Warna gelap boleh membuatkan kita nampak ramping. Dari kepala hingga ke kaki pakaian rona senada (monochromatic) memberikan ilusi ketinggian dan dapat membuatkan tubuh seseorang kelihatan lebih seimbang. Jalur melintang membuat anda lebih lebar, manakala jalur menegak, secara visualnya memanjangkan badan. Pastikan kita beri kurang penumpuan pada bahagian badan yang bermasaalah (walau di manapun), kadangkala kerana terlalu mahu menyembunyikannya dengan pelbagai cara, menjadikan ia lebih jelas serta menarik pandangan sinis masyarakat sekeliling.

Panduan Penggayaan Untuk Wanita Bertubuh Besar (Generously Sized Bodies)
Beg - shoulder bag yang besar dan tebal kerana kedudukannya yang terletak di tengah bahagian badan akan menarik perhatian pada bahagian tersebut. Sebaliknya bawalah flat bag, briefcase ataupun tote, ia akan melarikan pandangan daripada bahagian badan.

Tali Pinggang - Untuk bentuk badan hourglass, tali pinggang dapat perlihatkan dengan jelas bahagian yang paling ramping

Fabrik - Potongan yang longgar, panjang, berlapis-lapis daripada fabrik jenis lightweight amat sesuai sekali. Elakkan motif dan reka corak yang besar. Perlu diingat warna gelap menjadikan kita kelihatan langsing. Jika ingin menambah warna terang, pakailah blazer yang panjang antau vest dalam rona tersebut.

Perhiasan - Rantai panjang, loket (pendants) dan anting-anting berjuntai (dangling earings) menjadikan wajah kelihatan panjang, pin atau kerongsang (brooch) yang disematkan di bahu boleh mengalihkan perhatian daripada pinggang yang lebar (thick waist). Jika leher anda tebal (thick neck) elakkan perhiasan yang tumpuannya ke arah itu; contohnya choker, pakailah hanya satu aksesori, bukan sebanyak mungkin.

Seluar - Kalau boleh elakkan seluar, terutamanya potongan straight-cut, sebaliknya plihlah seluar potongan full-cut dan ditambah atasnya vest dan blouse ataupun sweater besar yang lembut. Blazer yang menutup bahagian punggung juga paling sesuai dan menarik untuk dipadankan.

Skirt - Melainkan anda memiliki sepasang kaki yang cantik elakkan skirt pendek. Pilihan yang bijak adalah skirt panjang sama ada potongan sempit ataupun longgar dengan elastic di pinggang. Elakkan juga skirt yang terlalu kembang kerana fabrik yang berlebihan akan menjadikan silhouette nampak lebih besar.

Panduan Penggayaan Untuk Wanita Bertubuh Badan Kecil (Petite Bodies)
Gaya - Pakaian kalau boleh biarlah yang ditempah mengikut ukuran badan anda. Elakkan pakaian yang terlalu besar (oversized), potongan boxy, banyak lipatan dan menggunakan banyak fabrik, kerana ia akan menenggelamkan badan yang kecil.

Aksesori - Pilihlah aksesori dengan teliti, wanita kecil molek akan nampak semak dan kurang selesa dengan aksesori yang terlalu besar.

Tali Pinggang - Pilihlah tali pinggang yang saiznya kecil bukan besar.

Perincian (Detailing) - Pastikan details adalah dalam kadar banding (proportion) yang sesuai, elakkan lapel, butang, ataupun cuff yang besar atau lebar.

Gaun (dress) - Oleh kerana padanan baju dan seluar ataupun skirt yang betul bagus potongan (well fitting) untuk wanita bersaiz kecil mungkin sukar didapati, memakai gaun (dress) adalah penyelesaian yang tepat.

Rambut - Rambut potongan close-cropped menjadikan kepala anda nampak lebih kecil dan secara tidak langsung memberikan ilusi tubuh lebih panjang.

Motif dan Rekacorak (pattern) - Motif dan reka corak yang besar boleh menenggelamkan sikecil molek, elakkan motif berpetak (plaids), polka dots dan jalur.

Skirt - Elak potongan A-line daripada fabrik yang keras dan tegang, kerana ia akan mewujudkan silhouette yang tidak menarik. Jika anda punyai sepasang kaki yang menawan, skirt pendek potongan lurus adalah pilihan yang tepat kerana ia menjadikan kaki nampak lebih panjang dan menawan.

Tuesday, February 16, 2010

Apa itu Fesyen?


Fesyen secara zahirnya membabitkan pakaian yang kita pakai, tarian yang kita tarikan, kereta yang kita pandu, gaya potongan rambut serta pelbagai aspek yang lain. Fesyen itu mempengaruhi gaya hidup dan memberikan kesan pada setiap peringkat kehidupan. Fesyen dikatakan adalah aliran yang lazim merebak pada masyarakat selari dengan sejarah dunia. Fesyen merupakan keinginan untuk perubahan, dan ini menjadikan ia sebahagian daripada asas kelengkapan kehidupan.

Manusia mula menutup badan mereka untuk memanaskan badan dan supaya kelihatan sopan, tetapi perhiasan dan dekorasi telah dulu menjadi aspek penting dalam berpakaian. Tekanan daripada rakan-rakan dan perubahan gaya hidup mempengaruhi jenis perhiasan yang dapat diterima pada sesuatu masa atau zaman atau kelompok masyarakat.

Pada asasnya, tujuan manusia memakai pakaian masih tidak berubah dulu dan kini. Hari ini kita masih memakai pakaian untuk tidak menjolok mata, tetapi pilihan kita dalam berpakaian dipengaruhi oleh keinginan untuk menghias diri.

Pakaian adalah medium komunikasi yang paling jelas dan berpengaruh. Dengan hanya melihat gaya seseorang berpakaian kita boleh mengandaikan tentang status sosial, identiti jantina, orientasi politik, etnik, gaya hidup dan keutamaan estetik mereka.

Antara ciri fesyen yang hebat adalah ianya sentiasa berubah dan tidak statik. Ianya berlaku terlalu cepat, sesuatu yang in fashion boleh bertukar menjadi out of fashion pada bila-bila masa. Apa yang kita lihat mungkin pereka membuat perubahan ini mengikut mood dan kehendak hati, tetapi realitinya rekaan mereka hanya akan diterima masyarakat jka ianya benar-benar dapat mencerminkan zaman atau dekad pada waktu tersebut.

Hari ini bahasa fesyen dipertuturkan, dari New York hingga ke Tokyo dan ia sudah pergi jauh dari tempat yang dikatakan asalnya iaitu Perancis. Aliran fesyen terbaru mungkin datang dari London, India, Hong Kong ataupun tidak mustahil nanti mungkin dari Kuala Lumpur, tetapi mungkin juga datangnya bukan daripada idea pereka.

Kini bahagian pemasaran dan promosi dalam sesuatu organisasi sentiasa boleh mempromosikan nama sesiapa jua sehingga ianya menjadi sebutan, ikutan atau fashionable. Apa sahaja barangan seperti T-shirt hingga kasut sukan boleh menjadi kegilaan peminat fesyen.

Diawal abad ke 21 ini, sekali lagi kita boleh melihat korset (corset) dan pinggul bustel (bustle) yang mendominasi aliran fesyen diawal abad ke 20, muncul kembali dipersada fesyen antarabangsa. Kini dada dan pinggul memainkan peranan utama untuk menawan hati sesiapa yang melihat, agak kontroversi? Mungkin fenomena ini yang mendefinasikan budaya moden, apapun terpulang pada perspektif masing-masing,

Fesyen sememangnya berubah. Kini apabila wanita moden memakai korset dan pereka merahsiakan identiti mereka disebalik label tertentu adalah kerana mereka bebas untuk berbuat demikian bukan kerana terpaksa, tekanan dan sebagainya. Yang pasti manusia akan terus-terusan menikmati keseronokan dengan fesyen, mengapa tidak?
That’s the beauty of fashion!

Saturday, February 13, 2010

Artis & Fashion Disaster

Kadangkala saya rasa pelik dengan dengan selera berfesyen artis Malaysia, ada yang cukup stylish tetapi maaf, yang buta fesyen terutamanya wanita pun banyak juga. Ada masa tertentu saya mengucap panjang apabila melihat gaya setengah-setengah artis berfesyen , pakaian dan solekan serta padanan serba tak kena. Yang paling teruk ialah pakaian tidak kena majlis. Ada artis yang mengenakan solekan sebenarnya sesuai malam tetapi digayakan disiang hari (panas terik pulak tu). Yang peliknya mereka rasa mereka sudah cukup cantik dan class. Well, think again! Don’t’ they know the concept of less is more?..I guess not.

Majalah fesyen tempatan dan antarabangsa melambak di pasaran. Vogue, Bazaar, In-Style, Elle, GQ, Details (satu dua cukuplah) semuanya ada…tak perlu pergi seberang laut pun. Majalah tempatan pun ada yang tidak kurang hebatnya Glam, Eh!, Female, Maskulin. Nasihat saya, bila beli majalah janganlah setakat selak tengok gambar dan baca gossip saja….try to learn from these magazines, belajar mengenai trend, padanan pakaian dan aksesori. Belajar juga mengenai solekan yang betul untuk pelbagai majlis, Dan terdapat artikel-artikel yang boleh mengkayakan minda, semua itu adalah ilmu terutama untuk anda yang sentiasa berhadapan dengan masyarakat.

Apapun, jangan salah faham, meniru trend fesyen dari barat tidak semestinya anda perlu seksi tidak tentu pasal. Pilihlah rekaan yang sesuai dengan budaya kita, selagi tidak keterlaluan. Kita boleh mengambil inspirasi daripada gaya, rekaan atau apa sahaja yang dipaparkan di dalam majalah-majalah tetapi perlu disesuaikan dengan keadaan diri kita. Potongan badan, ketinggian serta warna kulit perlu diambil kira. Cara yang paling senang adalah anda boleh mengupah atau meminta khidmat fashion consultant, fashion stylist, fashion designer serta make-up artist untuk menentukan gaya keseluruhan. Namun perlu berhati-hati kerana kini terlalu ramai imposter yang mengaku mereka adalah fashion designer dan make-up artist. Ini yang menyebabkan berlakunya fashion disaster.

Fashion Disaster
Apa itu fashion disaster? Lebih kurang begini. Pernahkah anda lihat ada artis kita yang popular dan cantik atau kacak tetapi setiap kali muncul dalam siri konsert atau acara karpet merah, kostum atau pakaian yang dipakai walaupun saya kira beribu harganya nampak seperti badut. Rekaan dan warna bercelaru, perincian sperti manik dan jemeki dan entah apa lagi kadangkala terlalu banyak dan menyemakkan pandangan. Ia seperti pakaian reject artis Hong Kong. Tiada fokus tertentu dan memperlihatkan originality rekaan. Mungkin artis itu tiada fashion sense dan hanya pakai apa yang disogokkan kepadanya, tetapi pengurus dan syarikat rakaman perlu mengambil inisiatif untuk membentuk imej yang boleh dibanggakan bukan hanya pada personaliti sahaja. Jangan kedekut untuk berbelanja untuk mendapatkan khidmat pereka yang betul-betul know what he’s or she’s doing!! Jangan ambil pereka yang tak sudah-sudah mencedok seratus peratus idea pereka antarabangsa atau paling sedih mencedok idea pereka tempatan yang disegani (contohnya seperti Rizalman, Radzuan)....Please!! Masyarakat kini lebih peka, lebih arif..they do read, you know.


Siapa artis yang stylish?

Saya bukan mahu mengutuk tapi mungkin saya sudah bosan untuk melihat gambar-gambar mangsa fesyen di media cetak dan elektronik. Mungkin kita perlu buat senarai Worst dressed list in Malaysia. Dan Mungkin selepas ini keadaan akan berubah, who knows!

Walaupun begitu terdapat juga artis yang stylish & class to perfection sepeti Sheila Majid, Camelia, Maya Karin, Anuar Zain (sekadar menyebut beberapa nama). Mereka ini adalah antara yang betul-betul really care about their image & everything. And they look amazing everytime.

Pesan saya pada mereka yang rasa pernah menjadi mangsa fesyen hanya satu…it’s never too late to change!

Ekspresi Busana Pengantin


Kebebasan untuk memilih busana dan aksesori pengantin yang paling sempurna terletak di tangan anda, bukannya pada orang lain. Yakinlah dengan kemahuan dan keputusan sendiri.

Tetapi jika anda masih lagi sangsi, antara tips asas serta mudah yang boleh saya usulkan adalah: dapatkan bantuan teman baik yang anda kagumi akan cita rasanya dalam berfesyen apabila membuat pilihan kelak atau mungkin paling senang tempah saja pakaian pengantin daripada butik tempatan pilihan anda. Semestinya pereka fesyen tersebut lebih arif dalam merealisasikan impian anda.

Walau bagaimanapun jika peruntukkan anda terhad, anda boleh mengikuti rekaan dan panduan memilih busana pengantin yang dipaparkan dalam majalah-majalah tempatan dan antarabangsa. Pastikan anda buat pilihan dengan teliti. Antara aspek penting yang perlu dipertimbangkan adalah termasuk pakaian pengantin paling sesuai dengan potongan badan, warna kulit serta kesesuain rekaan dengan konsep majlis perkahwinan yang diadakan. Rekaan seharusnya dapat menyerlahkan lagi personaliti serta gaya anda, agar kelihatan hebat dan luar biasa.

Bagi saya, pencarian pakaian perkahwinan yang paling sempurna adalah suatu pengalaman yang cukup menarik, menyeronokkan dan dapat menimbulkan nostalgia – Enjoy it to the fullest. Apapun perlu diingat pilihan anda ia seharusnya membuat anda tampak cantik bukan sebaliknya.

Thursday, February 11, 2010

Definasi Mewah




Baru-baru ini seorang teman bertanyakan kepada saya apakah ciri kemewahan dalam konteks gaya hidup masa kini. Di bawah adalah pandangan saya terhadap persoalannya itu.

Jawapan
Sememangnya anda tidak perlu jadi pakar fesyen ataupun pakar rekaan dalam apa jua disiplin –Mahupun multi-millionaire – Untuk menyedari bahawa setiap aspek kehidupan kita kini dijajah sedikit sebanyak ciri kemewahan. Sama ada pilihan kita beg Hermes yang diselaputi permata mahupun apa jua rekaan yang berstatus tinggi dan eksklusif, hari ini kemewahan tersebar luas dalam pelbagai industri.

Ia menjelma dalam pelbagai cara, daripada kemewahan secara terang-terangan (obvious opulence) seperti jet peribadi ataupun sleek discretion yang menampilkan gaya minimal hotel empat bintang – Mahupun juga konsep kemewahan lain seperti – gaya androgynous lelaki yang memakai kot bulu binatang (fur coat). Mungkin ia kelihatan seperti terlalu ekstrim pada awalnya, tetapi selalunya gaya yang muncul di pasaran kelas atasan (high-end market) boleh mempengaruhi pasaran umum (mass market), seterusnya banyak idea tersebut akhirnya muncul dalam arus perdana (mainstream).

Manusia masih lagi mahu memanjakan diri mereka dengan membeli krim muka yang berharga RM600 ataupun RM45,000 untuk hoe theatre set, semua terpulang pada kemampuan individu. Perubahan persepsi kemewahan adalah terpulang pada mata anda mendefinasikannya, juga pada mereka yang membelinya.

Wednesday, February 10, 2010

Apa ada pada Metroseksual




Saya kerap diajukan soalan-soalan berkaitan dengan Metroseksual. Di bawah adalah antara soalan-soalan yang paling popular berserta dengan persepsi saya terhadap topik yang diutarakan.


1. Apa yang dimaksudkan dengan jejaka Metroseksual secara ilmiahnya?
Istilah Metroseksual ini telah diambil daripada perkataan Yunani iaitu `Metropolis’ bermaksud `ibu kota’ dan digabungkan dengan perkataan `seksual’.

Istilah Metroseksual begitu unik hingga telah dipilih sebagai Word of the year 2003 oleh American Dialect Society. Terdapat lebih daripada 70 definasi yang memberikan interpretasi makna Metroseksual. Tetapi secara ringkasnya lelaki Metroseksual adalah lelaki yang sangat mementingkan kecantikan dan penampilan diri. Segala harus hanya yang terbaik untuk dirinya. Beliau dilihat begitu mengambil berat dan menyayangi dirinya sendiri, juga menyenangi gaya hidup urban.

2. Mengapa wujudnya gelaran jejaka Metroseksual?
Gelaran Metroseksual wujud bagi mewakili lelaki urban yang baru lahir dalam masyarakat kita. Kecenderungan kaum lelaki untuk lebih berketrampilan dari aspek gaya, tubuh badan yang sempurna kini telah dianggap perkara normal berbanding dengan tiga dekad dahulu sehinggakan ia dirasakan perlu diberikan gelaran ataupun istilah oleh para ilmuan.

3. Apa bezanya antara Metroseksual dengan jejaka lain contohnya yang lebih berpenampilan konvensional?
Contoh perbezaan yang paling ketara adalah dari segi mereka membelanjakan wang:
-lelaki lain mungkin lebih gemar untuk membeli alat kelengkapan hiburan rumah, kereta mahupun barangan elektronik sebaliknya lelaki Metroseksual lebih suka menghabiskan masa di butik-butik pakaian dan aksesori, salon kecantikan yang secara konvensionalnya adalah tempat disukai oleh kaum wanita.

4. Ciri-ciri jejaka Metroseksual?
Berketrampilan hebat daripada pelbagai aspek terutamanya gaya dan peribadi diri.

5. Peringkat usia jejaka Metroseksual?
Tidak terbatas pada mana-mana usia

6. Bila agaknya budaya jejaka metroseksual ini bermula? (Di Malaysia atau di peringkat global)
Istilah Metroseksual ini dikatakan muncul pertama kalinya pada tahun 1994. Ia diperkenalkan oleh Mark Simpson, yang merupakan antara penulis berkaitan dunia fesyen. lelaki Metroseksual digambarkan olehnya sebagai mereka yang datangnya daripada kelompok ataupun golongan anak muda yang tinggal di kota metropolitan; menjawat jawatan tinggi; mewah; mencintai diri sendiri; serta amat meminati fesyen, perawatan wajah serta tubuh badan. Wajah dirias rapi serta disapu bedak asas lengkap dengan lip gloss. Mereka ini punyai kulit putih, mulus dan lembut hasil daripada penjagaan rapi daripada produk kecantikan jenama mewah. Mungkin kecenderungan lelaki Metroseksual ini tampil sebegini, adalah kerana ekoran desakan kehidupan kontemporari yang saban hari sentiasa ada perubahan dan pembaharuan dalam tren fesyen, produk kecantikan dan teknik rawatan teknologi terkini.

7. Metroseksual sering dikaitkan dengan barangan atau pakaian berjenama, mengapa ini terjadi?
Kerana lelaki Metroseksual yang selalunya terdiri daripada golongan profesional muda ini, begitu menggemari serta mampu untuk memiliki produk ataupun pakaian (busana) berkualiti dan berprestij yang selalunya hasil rekaan pereka-pereka hebat antarabangsa. Pertambahan golongan profesional muda yang berpendapatan tinggi ini juga telah menyebabkan syarikat-syarikat pengeluaran, berlumba-lumba bersaing untuk mengeluarkan produk berjenama yang memenuhi citarasa golongan ini.


8. Pakaian yang sering dipakai jejaka metroseksual?
Tentunya aksesori dan pakaian yang berjenama tren terkini. Selalunya mereka menjadikan gaya idola mereka seperti David Beckham, Jude Law sebagai panduan dan ikutan.

9. Di Malaysia Metroseksual sering dikaitkan dengan Homoseksual, berbeza sekali di bandar besar seperti New York, Tokyo, Paris, Rome atau London. Adakah hal ini benar? Huraikan
Isu ini adalah amat subjektif dan terpulang kepada setiap daripada kita untuk mendefinasikannya. Ia bergantung kepada latar belakang dan sosio budaya masayarakat setempat. Cuma saya rasa kita perlu menghormati hak orang lain untuk melakukan apa yang terbaik untuk diri mereka tanpa ada rasa prasangka dan iri hati.

Perlu diingat perubahan gaya hidup Metroseksual ini bukan secara anatomi tetapi menerusi sikap dan perilaku. Tetapi jangan salah anggap, Metroseksual bukanlah kecenderungan seksual seseorang. Ianya hanyalah usaha luar sedar seseorang lelaki untuk menempatkan dirinya sebagai objek yang perlu diberikan layanan hanya yang terbaik.

10. Mengapa ada jejaka yang terlalu mementingkan penampilan/ kecantikan diri?
Itu semua adalah hak individu. Jika berkemampuan saya rasa tidak salah untuk mereka cuba memperbaiki penampilan diri agar lebih berkeyakinan dan dapat menyerlahkan lagi keperibadian mereka

11. Bagaimana pesatnya kehadiran jejaka Metroseksual di negara ini?
Saya yakin ramai jejaka urban Metroseksual di Malaysia yang sudah lama bersembunyi, kini sudah mula keluar daripada kepompong mereka sealiran dengan perkembangan tren kontemporari. Pertambahan golongan profesional muda juga mempercepatkan lagi pengaruh tren ataupun fenomena baru ini.

Pengaruh iklan dalam media cetak atau elektronik yang menampilkan pakaian , kacamata, kereta dan sebagainya yang selalunya menampilkan model-model lelaki yang bercirikan lelaki metroseksual, sememangnya dapat menarik perhatian sesiapa yang melihat.

12. Nasihat anda kepada jejaka Metroseksual di negara ini?
Jangan kita hanya terlalu mementingkan sesuatu yang bersifat permukaan hingga terlupa memperbaiki apa yang bersifat dalaman. Meminjam kata-kata seorang sahabat saya “Tidak semua yang berkilauan itu emas”. Mungkin agak puitiskan? Fikir-fikirkanlah

13. Nasihat anda kepada jejaka Metroseksual dalam soal membeli-belah, berpakaian dan penjagaan kecantikan diri?
Walaupun tiada manual undang-undang yang perlu dipelajari oleh jejaka Metroseksual, tetapi
apa yang pasti kita jangan terlalu mengikut arus tanpa berfikir terlebih dahulu tentang apa sebenar yang kita inginkan.

Tuesday, February 9, 2010

The eyes definitely have it



Lupakan dulu kasut jenama atarabangsa, gincu mewah daripada high-end fashion houses dan juga bau haruman lembut yang tertera nama mewah di atas botolnya. Kini apabila kita membicarakan tentang affordable luxury (kemewahan yang mampu dimiliki bukan hanya golongan atasan) sememangnya kita tertumpu pada bahagian mata kita. The eyes definitely have it!
Kaca mata hitam (sunglasses) adalah alternatif kepada mereka yang mahukan barangan seperti beg tangan dan pakaian daripada jenama mewah, tetapi tidak mampu untuk memilikinya oleh kerana harga yang melampau tinggi (skyrocketing prices). Sememangnya kasut, alat solek, wangian berjenama masih lagi dalam lingkungan produk yang boleh dimiliki oleh kebanyakkan kita, tetapi ia tidak mempunyai impak segera walaupun dari jarak jauh seperti yang boleh dilihat apabila anda memakai kaca mata hitam berlogo jenama antarabangsa. Kaca mata hitam bukan hanya boleh memberi nafas baru kepada pakaian yang sedia ada, malahan ia adalah satu cara yang paling ekonomi untuk kita mengikut peredaran gaya ataupun tren terbaru.

True fashionistas use glasses to make bold statement that they are beyond the benefits of sunglasses and more into the impact they make. Kini lebih banyak lagi jenama kaca mata hitam yang tidak begitu mahal terdapat di pasaran, dibandingkan dengan kategori aksesori yang lain. Sememangnya kaca mata hitam punyai variasi pilihan rekaan dalam pelbagai bentuk, saiz, tata hias dan perincian untuk citarasa semua individu.

Selalunya suai padan beg tangan dan kasut sedondon adalah yang paling diutamakan, tetapi kini memadankan kaca mata hitam dengan pakaian adalah cara yang paling pantas, berkesan, mudah serta lebih menjimatkan untuk menyerlahkan lagi gaya dan penampilan individu agar lebih segar.

Walaupun di barat ia paling popular digayakan pada musim panas, tetapi sejak kebelakangan ini, ia sudah menjadi aksesori evergreen yang dipakai sepanjang tahun. Pembeli kini tidak lagi membeli kaca mata hitam semata-mata untuk melindungi mata dari panahan pancaran UV yang merosakkan mata. Dan tarikan kaca mata hitam bersaiz besar yang kini jadi kegilaan mencerminkan keperluan untuk penjagaan mata dalam gaya baru yang lebih fashionable. Yang penting, ia juga boleh menyembunyikan mata yang lebam setelah penat berparti lewat malam, juga ketika kita langsung tidak sempat memakai alat solek, atau berfungsi untuk mengelakkan that unwanted eye contact.

Anda perlu dapatkan kaca mata hitam berjenama ini ketika ia masih dalam lingkungan harga yang berpatutan, sebelum ia memasuki kategori barangan mewah yang tidak mampu dimiliki semua pembeli (lantaran harga yang terlalu mahal) pada suatu masa nanti. Jika anda tidak percaya, lihat sahaja kaca mata keluaran Bottega Veneta yang bingkainya diperbuat daripada tanduk asli yang merupakan bahan yang eksklusif dan unik, ada juga jenama terkenal yang menghiasi rekaan kaca mata hitamnya penuh dengan berlian. Rekaan yang hebat ini bukan dijual dengan harga ratusan ringgit, tetapi sebaliknya ribuan malahan hingga mencecah puluhan ribu ringgit. Menarik bukan?

Saturday, February 6, 2010

....love letters from an old friend


"...thought that I share a photo of me with my 15 years collection of Vogue (American Edition) , 1995 -2010......just love reading it every month, it's like reading love letters from an old friend..hehe"

IMAGINASI DUNIA MIMPI


Bayangkan anda berdiri di dalam sebuah gedung pakaian, yang penuh jenama mahal dan mewah. Cuba pusing sambil perhatikan sekeliling. Apa yang anda lihat? Satu ruang luas dalam rona putih atau kelabu yang mengandungi pakaian-pakaian yang begitu indah. Cuba anda melangkah menyusuri rak-rak pakaian yang dilipat cantik, mahupun yang bergantungan, pasti anda mulai terasa bahawa ruang itu dipenuhi dengan penjelmaan semangat penuh kewanitaan: Armani dengan rekaan yang understated tetapi cukup sensual, wanita Balenciaga pula tampil unik dengan karakter tersendiri. Apa kurangnya Rizalman Ibrahim, ikon fesyen Malaysia yang sering muncul dengan koleksi penuh drama dan tersendiri.

Inilah dikatakan keajaiban penjenamaan fesyen (fashion branding) yang sentiasa cuba mengumpan dan meraih perhatian pembeli. Bermula dengan pemilihan fabrik, dipotong dan dijahit mengikut imaginasi dunia mimpi pereka fesyen. Koleksi yang telah siap diserahkan kepada kumpulan kreatif, disinilah bermulanya keajaiban: pencarian wanita yang paling sesuai untuk pakaian yang dihasilkan. Pereka kreatif, pengarah seni, penata gaya dan pereka grafik akan memulakan peranan mereka dengan pemilihan skema warna. Pengenalan ataupun cerita untuk pakaian tersebut, serta aksesori yang menjadi pelengkap dan padanannya.

Warna mempengaruhi mood: Mood mencerminkan personaliti dan keperibadian. Kemudian saksikan kekuatan imej fotografi, serta rekaan pakaian dan aksesori yang menjadi the flesh and the bones of a brand, diperagakan peragawati/ peragawan dalam majalah, dipentas peragaan dan di jalanan. Sama penting logo, label, handtag, pembungkusan dan katalog. Kemudian perkara sampingan bagi pihak publisiti seperti: cenderamata, jemputan dan sebagainya. Akhirnya istana jenama tersebut, iaitu gedung di mana rekaan itu dipamer dan dijual.

Fesyen menyediakan kita dengan ritual, yang memberikan kita keyakinan untuk menyatakan "look at me. This is who I am". Ikon fesyen, memberikan apa yang kita mahukan, sebelum kita sendiri sedar apa sebenarnya kemahuan kita. Inalah ironinya penjenamaan: ia bekerja secara senyap, hampir tidak dapat dilihat, sealiran dengan fesyen itu sendiri, hampir seperti mantera ataupun jampi yang membuatkan kita terus ingin berasa dalam dunia tersebut.

Setuju? Tepuk dada tanya selera!